Saturday, January 23, 2010

Pak Kaduk

PAK KADUK

1. SINOPSIS

Kisah ini berlaku di negeri Chempaka Seri, yang diperintahkan oleh raja yang bernama Indera Sari. Kegemaran baginda ialah menyabung ayam. Oleh sebab itu, banyaklah rakyat dalam Negara baginda yang yang suka membuang masa untuk berjudi dan menyabung ayam.

Dalam negeri Chempaka Seri, terdapat sepasang suami isteri yang miskin bernama Pak Kaduk dan Mak Siti. Pak Kaduk ingin mencuba nasib untuk mempertarungkan ayam sabungnya dengan ayam sabung raja. Pak Kaduk menyuruh isterinya membuat baju daripada kertas. Oleh sebab ingin cepat siap, Pak Kaduk meminta Mak Siti melekatkan bahagian-bahagian baju itu saja.

Di gelanggang tempat menyabung ayam, raja terlihat akan Si Kunani, ayam sabung kepunyaan Pak Kaduk yang sangat bertuah itu. Raja memujuk Pak Kaduk untuk bertukar ayam Si Kunani yang dikatakan kurang bertuah dengan Si Jalak, ayam sabung kepunyaan baginda. Tanpa berfikir panjang, Pak Kaduk bersetuju. Pak Kaduk juga menggadaikan kampong halamannya kepada raja dengan bernilai 50 rial sebagai wang pertaruhan.

Perlawanan bermula. Pak Kaduk sangat gembira melihat ketangkasan Si Kunani. Si Kunani akhirnya menang. Pak Kaduk yang terlupa bahawa Si Kunani yang bukan miliknya, melompat-lompat kegembiraan sehingga tidak menyedari baju kertasnya telah terkoyak-rabak. Pak Kaduk akhirnya berlari pulang. Apabila sampai ke rumah, Pak Kaduk dimarahi isterinya.

2. TEMA

Cerita ini bertemakan sikap manusia yang suka mengambil tindakan secara terburu-buru atau tidak berfikir secara rasional sebelum mengambil sesuatu tindakan. Sebagai akibatnya, diri sendiri menanggung kerugian seperti Pak Kaduk yang mempercayai cakap raja yang sebenarnya bertujuan menipunya.

3. PERSOALAN

a. Sikap tamak membawa mudarat. Contohnya, Pak Kaduk yang tamak sanggup menggadaikan kampong halamannya dengan nilai 50 rial semata-mata untuk mendapat wang pertaruhan raja. Sebagai akibatnya, kampong halamannya tergadai.

b. Pemerintahan yang tidak bertanggung jawab akan menyusahkan kehidupan rakyat. Raja Indera Seri bukan saja tidak mentadbirkan Negara dengan baik, bahkan baginda mengambil kesempatan pula untuk mencari keuntungan atas rakyat yang daif seperti Pak Kaduk. Perlakuan baginda yang sedemikian menyebabkan kehidupan rakyat seperti Pak Kaduk bertambah susah.

4. WATAK

a. Watak utama: Pak Kaduk.

b. Watak sampingan: Raja Indera dan Mak Siti.

5. PERWATAKAN

WATAK

CIRI-CIRI

Pak Kaduk

· Mempunyai isteri bernama Mak Siti.

· Sifat bodoh, lurus, tidak berfikir panjang, dan tergopoh-gopoh. Buktinya, dia sanggup menukarkan ayamnya yang handal dengan ayam sabungan raja.

· Mempunyai cita-cita yang tinggi tapi tidak kesampaian.

Raja Indera Sari

· Raja negari Chempaka Seri.

· Raja yang tidak bertanggungjawab. Baginda mengabaikan syariat Islam dan suka berjudi.

· Suka menipu. Baginda mengambil kesempatan atas kebodohan Pak Kaduk untuk kepentingan diri sendiri.

Mak Siti

· Isteri kepada Pak Kaduk.

· Membuat baju kertas untuk Pak Kaduk ke pertandingan ayam sabung.

6. PLOT

a. Raja Indera sangat suka bersabung ayam. Baginda ingin menyabung ayam di kampong Pak Kaduk.

b. Pak Kaduk menyuruh Mak Siti menyediakan baju kertas untuknya. Pak Kaduk membawa Si Kunani kegelanggang untuk menyabung ayam. Pak Kaduk mempertaruhkan kampong halamannya.

c. Raja Indera Sari bertukar ayam sabung dengan Pak Kaduk. Raja dan Pak Kaduk bersetuju ntuk mempertaruhkan dengan nilai 50 rial.

d. Pertaruhan bermula. Si Kunani menang. Pak Kaduk sangat gembira sehingga tidak perasan bahawa baju kertasnya telah terkoyak. Orang ramai ketawa melihat Pak Kaduk yang bertelanjang bulat.

e. Pak Kaduk Berlari pulang ke rumah. Di rumah, Pak Kaduk dimarahi oleh Mak Siti.

7. GAYA BAHASA

GAYA BAHASA

CIRI

CONTOH

Diksi

Penggunaan kata bahasa Melayu lama.

· Bulang yang bermaksud pengikat Melayu Lama.

· Bena yang bermaksud hirau atau peduli.

· Bangat yang bermaksud cepat, lekas, dan segera.

Simile

Perumpamaan

· Tampaknya Pak Kaduk seperti juara yang maha faham pada sabung-menyabung.

Ayat

· Laras bahasa klasik

· Hatta demi melihat baginda dengan sekalian orang-orang besar dan rakyat tentera yang hina-dina sekalian akan hal Pak Kadukitu, semuanya tertawa serta bertepuk tangan dengan tempik soraknya kesukaan melihatkan temasya Pak Kaduk itu.

· Laras bahasa istana

· “Ampun tuanku beribu-ribu ampun, patik ini tiadalah apa harta yang ada, hanya kampong sebuah itu sahaja:....”

8. LATAR

LATAR

CONTOH

Tempat

· Negeri Chempaka Seri.

· Gelanggan tempat menyabung ayam.

· Rumah Pak Kaduk di tepi sungai.

Masa

· Zaman feudal, iaitu zaman pemerintahan beraja.

· Raja mempunyai kuasa mutlak terhadap rakyat.

Masyarakat

· Rakyat.

o Mereka mengabaikan syariat agama.

o Mereka suka berjudi dan membuang masa.

o Mereka bertindak membuta tuli.

· Raja.

o Raja tidak bertanggungjawab dan tiada wawasan dalam pemerintahan.

o Raja zalim, memperalat rakyat yang lemah.

o Raja mesti dihormati. Kata-kata dan suruhan raja mesti ditaati oleh rakyat.

9. NILAI DAN PENGAJARAN

a. Manusia perlu berfikir secara rasional sebelum bertindak supaya tidak rugi atau menanggung malu.

b. Raja yang memerintah mesti bersikap adil dan tidak memperalatkan rakyat untuk kepentingan diri sendiri.

c. Jangan berjudi kerana permainan tersebut tidak mendatangkan keuntungan. Orang yang berjudi telah melakukan dosa di sisi Tuhan juga.

2 comments:

Unknown said...

👍👍👍👍👍

Unknown said...

hallo blh pm 01125267238.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...